Category Archives: petikan
Cinta Itu Menakluk
Shakespeare pernah berkata “Love conquers all.” Begitulah kesimpulan ringkas tapi sarat makna dari seorang pujangga silam. Barangkali semua yang berlaku di dunia ini dari dulu hingga ke hari ini berpunca dari cinta.
Dari cinta Adam kepada Hawa hingga lahirlah manusia di dunia kepada cinta era moden kini dalam bentuknya yang pelbagai dan rencam.
Hakikat cinta adalah luas. Ia mempunyai banyak sisi dan maksud. Ia tidak semata-mata terjurus kepada cinta antara lelaki dan perempuan. Cinta juga melekat pada wang ringgit, pangkat kebesaran, keturunan, kebendaan, puji-pujian dan banyak lagi.
Pemahaman kepada falsafah dan kesan cinta menyedarkan kita betapa cinta punca perubahan kepada suatu kehidupan – sama ada maju ke depan atau berpatah balik mundur ke belakang. Apapun cinta membawa definisi baru kepada kehidupan seseorang itu biar bagaimanapun kesannya.
Fokus kali ini memilih tema cinta remaja sesuai dengan konteks pelajar Uniti. Kerana ia suatu yang bersifat semasa, ia sentiasa menjadi isu dan bahan minda yang segar. Apatah lagi bila mengalaminya sendiri penangan cinta ia amat menyeronokkan. Tapi itu adalah permulaan dari sebuah espisod yang akan jadi sangat panjang. Kesudahannya – jika ia tidak dikawal oleh budi dan iman – kehidupan akan menjadi gerhana dan mungkin gelap tanpa sinar bulan dan matahari lagi untuk seluruh baki hayatnya.
Saya ingin mengajak para pelajar Uniti yang masih remaja untuk belajar dari pengalaman orang terdahulu. Pengalaman adalah kebenaran atau realiti. Ia tidak sama dengan novel kerana ia adalah karya kreatif. Walaupun ia nukilan yang cukup berseni namun yang lebih mengajar ialah pengalaman hidup manusia sebagaimana yang tercatat dalam sejarah manusia.
Pengalaman manusia banyak menceritakan kisah indah dan hebatnya percintaan. Kisah ‘Ayat-ayat cinta’ antara kisah yang mengangkat tema cinta yang qudus. Cinta itu menutut keikhlasan dan pengorbanan. Tapi cinta juga mendorong orang mengkhianati manusia lain hanya untuk memiliki cinta.
Kita juga tidak sunyi dari kesah duka lara kerana cinta. Kita tidak mungkin lupa kisah cinta yang sarat derita – Laila Majnun. Cinta dari kisah tragis ini membawa mesej duka. Cinta itu bukan saja mematikan jiwa tapi menuntut korban nyawa.
Bagaimana tajuk posting ini berkait pula dengan pelajar Uniti ? Apakah signifikannya membicarakan isu ini ?
Kaitannya jelas dan kesannya juga jelas. Terbentang di depan mata kita. Walaupun tiada langsung kursus khas tentang cinta tapi semua orang termasuk yang seorang yang lemah akalnya pun tahu apa itu kalimah cinta. Semua orang tanpa kecuali ingin mencintai dan dicintai.
Saya fikir cukuplah sekadar mengingatkan (lagi) para pelajar agar tidak terjebak dalam percintaan semasa belajar. Ini kerana ia adalah antara petanda awal – walaupun tidak mutlak – bahawa pelajar akan gagal dalam akademik atau sekurang-kurangnya tidak mencapai keputusan yang baik dalam ujiannya.
Sebagai insan biasa terutamanya pada usia remaja yang dada penuh gelora kemungkinan untuk pelajar disinggahi perasaan cinta adalah besar. Namun sayangnya cinta itu tidak didorong ialah hati yang luhur dan jernih.
Tidak sukar untuk menelaah sikap dan kecenderungan fitrah ini di kalangan pelajar. Seperti yang selalu saya ‘leterkan’ dalam kuliah bahawa perbuatan, amalan atau gaya hidup itu ada bekas atau tandanya. Lihatnya kepada aksi spontanya pada pertuturan, keterikatannya pada telefon bimbit, bahan perbualan, cara mengisi masa lapang dan banyak lagi boleh disenaraikan. Apabila mendengar perbualan pasangan remaja yang bercinta telinga saya menjadi begitu mual. Apa tidaknya bila si lelaki memanggil teman wanitanya mama; dan yang si perempuan memanggil ‘nyawanya’ pula papa. Inilah bahasa cinta remaja hari ini.
Bagaimana cinta ini menggangu akademik pelajar ?
Psikologi pelajar akan terganggu. Malangnya ia tidak disedari kerana sumber cinta ialah perasaan yang begitu halus. Hadir tapi tidak mudah disedari hinggalah ia sudah menjadi begitu besar. Ketika itulah ia menjelma sebagai cinta yang menakluk!
Apabila jiwa dan hati ditakluki cinta maka berubahlah cara dan agenda kehidupannya. Ini kerana kiblat kehidupan sudah beralih arah. Justeru, mereka yang sedang fana’ dalam alam percintaan yang tidak lagi terkawal ini akan menunjukkan sikap-sikap negatif dalam pembelajarannya.
Contohnya?
Mula ‘tuang’ kelas, kerja atau tugasan tidak siap, mengantuk, tidak lagi menunjukkan minat dalam akademik, kerap memberi alasan, selalu ‘hilang’ dari pandangan kawan-kawan di asrama. Senarai ini panjang sebenarnya.
Akhirnya sikap ini – yang tidak boleh ditegur atau dinasihati kawan – akan ditunjukkan dalam keputusan peperiksaan. Walaupun ada pengecualian kepada pelajar tertentu namun kita perlu akur dan berpegang kepada lumrah atau adat tabiat. Ramai yang kecundang. Hanya segelintir yang berjaya (kelihatannya saja!).
Kepada semua pelajar renungi pesan para pujangga di bawah. Moga masih ada baki budi dan iman untuk rasa insaf. Tanpanya kita tidak akan lagi ada rasa malu untuk memulakan hubungan yang bernafsu. Ia kotor kerana akhirnya ia disaluti noda.
Saya ingin berhenti di sini kerana ruang yang terbatas. Pelajar boleh membaca banyak bahan tentang cinta baik secara objektif atau karya kreatif yang mengupas isu cinta dengan panjang lebar.
Saya hanya ingin untuk kesekian kalinya menitipkan rasa dan nilai insaf dalam diri pelajar. Bukalah hati kerana ia dapat menawan dan mengumpul kekuatan budi. Ia tidak memadai dengan fikiran yang waras. Renungilah.
Cinta itu seperti perang, mudah memulainya (tapi) sangat sulit mengakhirinya.
MunchenNasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Tinggal emak tinggal saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
- Pantun MelayuKalaupun ada saat yang paling lemah, kalaupun ada yang paling kuat dalam hidup kita ialah saat apabila kita sedang dilamun cinta.
BonzalesCumbuan dan pujuk rayu cinta itu bolehlah disamakan dengan candu, menaklukkan segala perasaan, tetapi fana.
Leo TolstoyCinta ialah kegembiraan yang paling manis dan kesedihan yang paling pahit.
Bailey-“Festus”Lemparkan seseorang yang berbahagia dalam cinta ke dalam laut, dia akan timbul dan membawa seekor ikan. Letakkan seseorang yang menderita dalam cinta ke dalam gudang roti, dia akan mati kelaparan.
Peribahasa ArabHasrat pertama para muda remaja yang masih hijau untuk bercinta hanyalah bersifat jasmaniah sahaja.
GoetheBahawasanya seorang yang memburu cinta adalah laksana memburu kijang di rimba belantara. Bertambah diburu bertambah jauh dia lari. Akhirnya tersesat dalam rimba, tak bisa pulang lagi.
Hamka dalam ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wick’.
Moga ada yang akan peduli kepada nasihat ini. Dunia ini boleh bertukar menjadi mimpi ngeri bahkan neraka kepada mereka yang naif dan tiada lagi sifat malu apabila ditakluki cinta yang hina.
Uniti mempunyai nama baik untuk dipertahankan. Jangan ada lagi yang ingin menconteng arang ke mukanya melainkan anda pelajar yang miskin budi dan imannya.
Bahan Utk Penelitian Minda
Bahan-bahan bacaan (format PDF) untuk rujukan pensyarah dan pelajar telah dimuatnaik ke dalam Kolej Uniti..Box. Bahan-bahan ini boleh membantu penambahbaikan proses pengajaran pensyarah dan juga pembelajaran pelajar.
Jika ia berkaitan dan sesuai dengan keperluan semasa pembaca blog ini dipersilakan untuk memuaturun bahan-bahan tersebut dan sebarkan kepada khalayak yang lebih besar untuk perkongsian dan percambahan minda. Anda boleh memilih bahan yang sesuai dengan menyemak senarai bahan-bahan tersebut dalam Kolej Uniti..Box.
Selamat menekuni dan meneliti pemikiran, teori dan pengalaman yang tersurat dan tersirat dalam bahan-bahan tersebut.