Category Archives: Petua Belajar
Simulasi PNG
Ramai pelajar dari pelbagai program telah mendapat manfaat daripada kaedah simulasi PNG yang telah dibangunkan sejak 5-6 tahun lalu, sama ada melalui kes rujukan dari Ketua Program atau datang secara sukarela.

Dari kiri : Mira, Fatin dan Ika - kesemuanya DPI Sem 5 dan merupakan pelajar yang mencapai PNGK yang baik, datang secara sukarela untuk mengetahui takdir PNG paling tinggi boleh dicapai sem ini dan sem akhir nanti. Dengan sikap positif dan berani, mereka telah mengetahui dan menerima salah satu 'takdir' atau keputusan PNGS/K mereka sem ini dan sem akhir nanti. (Sesi 3 Ogos 2011, dari 3.30 - 5.45 ptg di bilik cikgubad)
Sekarang dalam versi terbarunya, ia lebih memudahkan lagi pelajar memahami pengiraan PNGS dan PNGKnya melalui ciri tambahan iaitu graf PNG.
Berikut adalah peta minda mengenai simulasi PNG yang meringkaskan segalanya tentang simulasi tersebut. Pelajar dan pensyarah KU boleh memberi respons terhadap nota ringkas ini demi menambah baik lagi simulasi ini pada masa hadapan.
Klik imej untuk paparan saiz yang lebih besar.
Tips Menghadapi Peperiksaan
Jika anda masih tercari-cari cara untuk menghadapi peperiksaan sehingga menimbulkan tekanan atau keadaan blur tatkala menghadapi satu-satu sesi peperiksan, maka inilah masanya untuk anda mendapatkannya di dalam bengkel berikut, anjuran Unit Kaunseling HEP.
Jangan lepaskan peluang ini. Selamat berbengkel!
d
Juliana Binti Basri Mengharumkan Nama Kolej UNITI
Juliana binti Basri ternyata seorang pelajar yang hebat. Beliau adalah antara pelajar terbaik yang pernah dilahirkan Kolej UNITI.
Namun sejarahnya sebagai pelajar Kolej UNITI barangkali tidak sama dengan kebanyakan pelajar UNITI yang lain. Juliana menempuh saat-saat yang sukar sebelum berjaya diterima menjadi pelajar Kolej UNITI.
Kira-kira 3 tahun lalu beliau telah mendaftarkan diri sebagai pelajar Diploma Perakaunan UiTM-UNITI. Namun, beliau tidak lama dalam program tersebut. Ini kerana rezekinya tidak dalam program tersebut. Pendaftarannya telah ditolak oleh UiTM sendiri atas sebab tertentu.
Kisah yang Tersurat Kasih Ibu buat Anaknya
Buat semua warga pelajar KU, khasnya pelajar-pelajar baru Kolej UNITI berhentilah sejenak dari aktiviti yang sedang kalian lakukan untuk membaca ’warkah’ budi, harapan dan doa – lahir dari nurani seorang ibu yang baru melepaskan anaknya ke jagaan Kolej UNITI.
Saya menerima ‘warkah’ ini hari ini, 14 April yang dikirim sebagai komen ke atas entri saya bertajuk ‘Kolej UNITI (KU) : ‘Indah Khabar dari Rupakah’ Ia?’ bertarikh 27 April, 2009 dalam blog personal saya. Saya menyalinnya semula di sini untuk dikongsi dengan semua pengunjung blog ini.
Saya juga menyalin reply saya terhadap ‘warkah’ ibu yang bernama Faridah bte Ibrahim ini.
Titipan yang sarat kasih sayang ini begitu luhur maksudnya. Bacalah untuk anda sendiri memahaminya. Kisah ini ada tersuratnya kasih – dari seorang ibu kepada anaknya.
Moderator Blog
Kelas Bimbingan Kefahaman PNG (Kaedah Simulasi)
Rata-rata pelajar agak naif tentang maksud tersurat angka-angka yang terpapar pada slip keputusan peperiksaan semester mereka. Hasil tinjauan rambang dan persoalan-persoalan yang mereka kemukakan menunjukkan banyak sisi penting dalam slip keputusan tersebut tidak mereka ketahui.
Saya sendiri pernah bertanyakan pelajar yang manakah Purata Nilai Gred Semester (PNGS). Namun jawapannya menghampakan.
Agak malang apabila ada yang langsung tidak mahu ‘ambil peduli’ tentang keputusan yang mereka perolehi. Bahkan ada pelajar semester 5 dan semester akhir yang kekal naif terhadap sistem penilaian akademik ini.
Antara yang dapat dikesan ialah ketidaktahuan pelajar tentang:
gred minima untuk lulus subjek
skala pengredan markah
subjek apa yang mesti atau boleh diulang untuk memperbaiki keputusan
berapa kali boleh mengulang dibenarkan bagi subjek yang gagal
kaedah mengira mata PNGS dan PNGK
maksud mata kumulatif
natijah status keputusan kepada peluang penajaan PTPN /MARA semester berikutnya
perbezaan PNGS dengan PNGK terutamanya yang mana lebih penting
tidak tahu beza status AMARAN dan PERCUBAAN
Untuk mengatasi masalah ini cikgu Bad dengan kerjasama Ketua Program akan membuka kelas bimbingan Pemahaman Sistem Purata Nilai Gred (PNG) menggunakan Simulasi berasaskan-excel bagi membantu pelajar-pelajar yang berminat dan pelajar-pelajar yang sedang menghadapi masalah akademik (0.5 < PNGK <2.5).
Pelajar-pelajar berkenaan digalakkan mengambil peluang ini sementara berada di awal semester ini.
Berikut adalah dua contoh simulasi pengiraan PNGS dan PNGK.


Diharap pelajar dapat dicelikkan tentang kepentingan memahami PNGS dan PNGK sebagai kayu ukur keupayaan intelek atau kognitif pelajar.
Pelajar perlu faham mata PNG bukan sekadar tanda aras kepandaian atau kejahilan mereka. Secara tersiratnya ia menjadi bukti kegigihan mereka selama ini atau sebaliknya membuka tembelang mereka yang pernah malas, tidak komited, ‘tuang kelas’ dan lain-lain lagi aktiviti yang tidak produktif yang telah mereka lakukan.
Penjelasan lanjut mengenai sesi pemahaman PNG dengan kaedah simulasi ini ada di sini.
Korelasi Keputusan Peperiksaan dengan Adab Pelajar
Keputusan peperiksaan tidak sekadar angka atau nilai mata. Di sebaliknya ada petunjuk atau isyarat yang boleh dibaca oleh para guru/ pensyarah. Isyarat ini memberikan para pendidik ini maklumat tertentu yang berguna untuk dianalisa seterusnya.
Hasil analisa maklumat ini kemudiannya berguna baik untuk para guru/pensyarah mahu pun pelajar sendiri.
Dalam pendidikan inilah yang dinamakan pengukuran dan peniliaian. Tujuannya antara lain adalah untuk mengukur keberkesanan Pnp yang telah dijalankan sebelum peperiksaan dan mengukur kedalaman dan penguasaan ilmu pelajar sama ada mencapai atau tidak objektif Pnp oleh guru-pelajar.
Itu tujuan akademik. Namun, keputusan peperiksaan juga boleh di lihat di sisi sosial iaitu angka atau nilai mata juga dicari hubungkait atau korelasinya dengan adab pelajar terhadap guru dan ilmu baik semasa dalam bilik kuliah mahu pun di luar bilik kuliah.
Inilah yang cuba dijelaskan apabila keputusan peperiksaan bagi sebuah program akademik menunjukkan kemerosotan yang ketara di kalangan pelajarnya.
Dapatan ini penting untuk menyedarkan pelajar bahawa adab dan akhlak belajar merupakan satu sisi penting yang mempengaruhi pencapaian atau lebih tepat lagi keberkatan ilmu yang diperolehi pelajar.
Tulisan ini akan bersambung selepas data pengamatan diperolehi kelak.
Cinta Itu Menakluk
Shakespeare pernah berkata “Love conquers all.” Begitulah kesimpulan ringkas tapi sarat makna dari seorang pujangga silam. Barangkali semua yang berlaku di dunia ini dari dulu hingga ke hari ini berpunca dari cinta.
Dari cinta Adam kepada Hawa hingga lahirlah manusia di dunia kepada cinta era moden kini dalam bentuknya yang pelbagai dan rencam.
Hakikat cinta adalah luas. Ia mempunyai banyak sisi dan maksud. Ia tidak semata-mata terjurus kepada cinta antara lelaki dan perempuan. Cinta juga melekat pada wang ringgit, pangkat kebesaran, keturunan, kebendaan, puji-pujian dan banyak lagi.
Pemahaman kepada falsafah dan kesan cinta menyedarkan kita betapa cinta punca perubahan kepada suatu kehidupan – sama ada maju ke depan atau berpatah balik mundur ke belakang. Apapun cinta membawa definisi baru kepada kehidupan seseorang itu biar bagaimanapun kesannya.
Fokus kali ini memilih tema cinta remaja sesuai dengan konteks pelajar Uniti. Kerana ia suatu yang bersifat semasa, ia sentiasa menjadi isu dan bahan minda yang segar. Apatah lagi bila mengalaminya sendiri penangan cinta ia amat menyeronokkan. Tapi itu adalah permulaan dari sebuah espisod yang akan jadi sangat panjang. Kesudahannya – jika ia tidak dikawal oleh budi dan iman – kehidupan akan menjadi gerhana dan mungkin gelap tanpa sinar bulan dan matahari lagi untuk seluruh baki hayatnya.
Saya ingin mengajak para pelajar Uniti yang masih remaja untuk belajar dari pengalaman orang terdahulu. Pengalaman adalah kebenaran atau realiti. Ia tidak sama dengan novel kerana ia adalah karya kreatif. Walaupun ia nukilan yang cukup berseni namun yang lebih mengajar ialah pengalaman hidup manusia sebagaimana yang tercatat dalam sejarah manusia.
Pengalaman manusia banyak menceritakan kisah indah dan hebatnya percintaan. Kisah ‘Ayat-ayat cinta’ antara kisah yang mengangkat tema cinta yang qudus. Cinta itu menutut keikhlasan dan pengorbanan. Tapi cinta juga mendorong orang mengkhianati manusia lain hanya untuk memiliki cinta.
Kita juga tidak sunyi dari kesah duka lara kerana cinta. Kita tidak mungkin lupa kisah cinta yang sarat derita – Laila Majnun. Cinta dari kisah tragis ini membawa mesej duka. Cinta itu bukan saja mematikan jiwa tapi menuntut korban nyawa.
Bagaimana tajuk posting ini berkait pula dengan pelajar Uniti ? Apakah signifikannya membicarakan isu ini ?
Kaitannya jelas dan kesannya juga jelas. Terbentang di depan mata kita. Walaupun tiada langsung kursus khas tentang cinta tapi semua orang termasuk yang seorang yang lemah akalnya pun tahu apa itu kalimah cinta. Semua orang tanpa kecuali ingin mencintai dan dicintai.
Saya fikir cukuplah sekadar mengingatkan (lagi) para pelajar agar tidak terjebak dalam percintaan semasa belajar. Ini kerana ia adalah antara petanda awal – walaupun tidak mutlak – bahawa pelajar akan gagal dalam akademik atau sekurang-kurangnya tidak mencapai keputusan yang baik dalam ujiannya.
Sebagai insan biasa terutamanya pada usia remaja yang dada penuh gelora kemungkinan untuk pelajar disinggahi perasaan cinta adalah besar. Namun sayangnya cinta itu tidak didorong ialah hati yang luhur dan jernih.
Tidak sukar untuk menelaah sikap dan kecenderungan fitrah ini di kalangan pelajar. Seperti yang selalu saya ‘leterkan’ dalam kuliah bahawa perbuatan, amalan atau gaya hidup itu ada bekas atau tandanya. Lihatnya kepada aksi spontanya pada pertuturan, keterikatannya pada telefon bimbit, bahan perbualan, cara mengisi masa lapang dan banyak lagi boleh disenaraikan. Apabila mendengar perbualan pasangan remaja yang bercinta telinga saya menjadi begitu mual. Apa tidaknya bila si lelaki memanggil teman wanitanya mama; dan yang si perempuan memanggil ‘nyawanya’ pula papa. Inilah bahasa cinta remaja hari ini.
Bagaimana cinta ini menggangu akademik pelajar ?
Psikologi pelajar akan terganggu. Malangnya ia tidak disedari kerana sumber cinta ialah perasaan yang begitu halus. Hadir tapi tidak mudah disedari hinggalah ia sudah menjadi begitu besar. Ketika itulah ia menjelma sebagai cinta yang menakluk!
Apabila jiwa dan hati ditakluki cinta maka berubahlah cara dan agenda kehidupannya. Ini kerana kiblat kehidupan sudah beralih arah. Justeru, mereka yang sedang fana’ dalam alam percintaan yang tidak lagi terkawal ini akan menunjukkan sikap-sikap negatif dalam pembelajarannya.
Contohnya?
Mula ‘tuang’ kelas, kerja atau tugasan tidak siap, mengantuk, tidak lagi menunjukkan minat dalam akademik, kerap memberi alasan, selalu ‘hilang’ dari pandangan kawan-kawan di asrama. Senarai ini panjang sebenarnya.
Akhirnya sikap ini – yang tidak boleh ditegur atau dinasihati kawan – akan ditunjukkan dalam keputusan peperiksaan. Walaupun ada pengecualian kepada pelajar tertentu namun kita perlu akur dan berpegang kepada lumrah atau adat tabiat. Ramai yang kecundang. Hanya segelintir yang berjaya (kelihatannya saja!).
Kepada semua pelajar renungi pesan para pujangga di bawah. Moga masih ada baki budi dan iman untuk rasa insaf. Tanpanya kita tidak akan lagi ada rasa malu untuk memulakan hubungan yang bernafsu. Ia kotor kerana akhirnya ia disaluti noda.
Saya ingin berhenti di sini kerana ruang yang terbatas. Pelajar boleh membaca banyak bahan tentang cinta baik secara objektif atau karya kreatif yang mengupas isu cinta dengan panjang lebar.
Saya hanya ingin untuk kesekian kalinya menitipkan rasa dan nilai insaf dalam diri pelajar. Bukalah hati kerana ia dapat menawan dan mengumpul kekuatan budi. Ia tidak memadai dengan fikiran yang waras. Renungilah.
Cinta itu seperti perang, mudah memulainya (tapi) sangat sulit mengakhirinya.
MunchenNasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Tinggal emak tinggal saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
- Pantun MelayuKalaupun ada saat yang paling lemah, kalaupun ada yang paling kuat dalam hidup kita ialah saat apabila kita sedang dilamun cinta.
BonzalesCumbuan dan pujuk rayu cinta itu bolehlah disamakan dengan candu, menaklukkan segala perasaan, tetapi fana.
Leo TolstoyCinta ialah kegembiraan yang paling manis dan kesedihan yang paling pahit.
Bailey-“Festus”Lemparkan seseorang yang berbahagia dalam cinta ke dalam laut, dia akan timbul dan membawa seekor ikan. Letakkan seseorang yang menderita dalam cinta ke dalam gudang roti, dia akan mati kelaparan.
Peribahasa ArabHasrat pertama para muda remaja yang masih hijau untuk bercinta hanyalah bersifat jasmaniah sahaja.
GoetheBahawasanya seorang yang memburu cinta adalah laksana memburu kijang di rimba belantara. Bertambah diburu bertambah jauh dia lari. Akhirnya tersesat dalam rimba, tak bisa pulang lagi.
Hamka dalam ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wick’.
Moga ada yang akan peduli kepada nasihat ini. Dunia ini boleh bertukar menjadi mimpi ngeri bahkan neraka kepada mereka yang naif dan tiada lagi sifat malu apabila ditakluki cinta yang hina.
Uniti mempunyai nama baik untuk dipertahankan. Jangan ada lagi yang ingin menconteng arang ke mukanya melainkan anda pelajar yang miskin budi dan imannya.
Ada telinga saja tidak cukup!
Antara masalah pelajar semasa mengikuti kuliah ialah kegagalan untuk menangkap maksud atau isi-isi pokok yang cuba disampaikan oleh pensyarah. Akibatnya kuliah ibarat angin yang lalu begitu sahaja. Tiada ilmu dikutip, tiada nilai dititip. Beberapa jam yang dilalui adalah tempoh yang menjadi sia-sia, atau lebih tepat lagi disia-siakan sendiri oleh pelajar. Kelemahan ini dikesan begitu ketara di kalangan pelajar yang pasif.
Mengapa ini terjadi ?
Tanpa menafikan kelemahan boleh terjadi ke atas pensyarah sendiri, pelajar perlu tahu bahawa kejayaan sesuatu kuliah juga bergantung kepada kebolehan dan kemahiran tertentu pelajar sendiri. Ia tidak semata-mata ‘sumbangan’ pensyarah atau guru di sekolah dulu.
Dalam bidang pedagogi, ada mazhab pembelajaran yang dinamakan ‘humanisme’ yang percaya bahawa pencapaian seseorang itu BUKAN ditentukan oleh atau kerana orang lain tetapi ia adalah PILIHAN seseorang itu sendiri.
Justeru, jika kita bersetuju dengan pendapat mazhab pembelajaran ini kita tidak lagi boleh menuding jari kepada pihak kedua seperti pensyarah di atas kelemahan yang kita ada.
Ini membawa kita kepada satu prinsip perubahan iaitu dorongan mesti datang dari dalam diri pelajar. Pelajar mesti boleh memikirkan sendiri bagaimanakah seharusnya dia belajar, apa yang perlu dipelajari, dengan siapa, bilakah masanya yang sesuai dan sebagainya.
Salah satu daripada jawapan kepada soalan ‘bagaimanakah cara berkesan untuk belajar ?’ ialah kemahiran mendengar.
Rupa-rupanya nak ikuti kuliah pelajar kena mahir mendengar! Kemahiran ini tidak datang sendiri. Ia bukan built-in iaitu keupayaan yang wujud secara semulajadi atau fitrah apabila seorang bayi itu lahir dengan cukup sifat sepasang cuping telinganya.
Oleh itu jika pelajar ingin menguasai ilmu yang pensyarah sampaikan binalah dan kuasailah kemahiran mendengar terlebih dulu.
Seorang pemikir dari peradaban silam bernama Plutarch (46 AD – 120 AD) telah berpesan kepada kita :
“Know how to listen, and you will profit even from those who talk badly”
Untuk tahu tips mendengar dengan berkesan sila muaturun fail ‘Effective Listening in Class’ dalam Kolej Uniti Box.
Ingat duhai pelajar bahawa ada telinga saja tidak cukup! Anda perlu berlatih menggunakannya untuk mengesan isi-isi pokok kuliah dengan bantuan organ deria yang lain. Juga jika anda telah faham nanti kemahiran mendengar menuntut pelajar agar AKTIF BERFIKIR, menjadi independent, tahu membina hubungan interpersonal dengan pensyarah dan kawan-kawan dan banyak lagi perkara yang perlu disiapkan sebelum anda menjadi seorang pelajar yang mahir mendengar dengan berkesan.
Selamat mencuba.
Internet, Plagiarisme dan Pelajar
Ditulis oleh : cikgubad
Ketika ini pelajar-pelajar saya sedang bertungkus lumus mempersiapkan bahan untuk pembentangan tugasan atau kajian mini Pengajian Malaysia. Setelah kira-kira 2 bulan lebih soalan diberi, masanya hampir tiba untuk saya melihat hasilnya.
Walaubagaimanapun sepanjang masa ini, hanya beberapa kerat sahaja kumpulan pelajar yang menemui saya untuk berbincang mengenai tajuk tugasan mereka. Saya mengharapkan lebih ramai lagi yang mencari suluhan atau petunjuk tentang proses memula, mencari dan menyudahkan tugasan kursus yang berat ini. Tapi ini tidak berlaku sebagaimana diharapkan.
Yang berjumpa saya pula dengan kerenah dan ragam masing-masing. Misalnya ada yang merungut ‘…tajuknya tidak ada dalam internet cikgu.’ Jelas nada kehampaan mereka kerana setelah lama meng’goggle‘ bahan-bahan internet masih juga gagal ditemui. Internet seperti ‘tidak mesra-pelajar’ yang begitu beria-ia ini.
Kelihatannya internet telah manjadi sumber primer untuk pelajar mendapatkan maklumat dan data kajian. Buku atau artikel majalah ilmiah tidak lagi menjadi rujukan utama.
Ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh internet dalam kehidupan pelajar.
Namun – di samping kebaikan kecanggihan ICT – saya tetap runsing kerana – sejak bertahun lalu – bahan internet telah diambil secara tidak bertanggungjawab hingga berlaku fenomena penciplakan atau dalam bahasa akademik disebut plagiarisme.
Budaya negatif ini telah disinggung oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi ketika berucap pada majlis perasmian 1 Megalab, di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Likas pada 23 Mac 2009.
“Beliau berkata penggunaan komputer dan internet untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan telah mencetuskan budaya kerja “cut and paste” dan sehingga mengabaikan proses penyelidikan untuk maju ke hadapan.”
Namun malangnya pelajar tidak menyedari bahawa perbuatan ‘cut and paste’ adalah satu jenayah akademik. Mereka tidak tahu ia adalah plagiat – suatu kesalahan akademik yang serius.
Besarnya kesalahan memplagiat digambarkan oleh laporan BERNAMA berikut yang bertajuk ’Ijazah Pelajar UM dilucut Akibat Ciplak Tesis’, bertarikh 20 Jun 2007:
Pengarah Perhubungan Korporat dan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Khoo Boo Teong berkata setiap universiti mempunyai perlembangaan sendiri untuk melucutkan kelayakan mana-mana pelajar yang didapati menipu.
“Di Universiti Malaya kita ada Seksyen 56, Perlembagaan Universiti Malaya untuk menghadapi sebarang kes plagiat, meniru dan penipuan.
“Hari Isnin lepas, kita baru mengeluarkan notis pelucutan di akhbar tempatan terhadap seorang pelajar dari Fakulti Pengajian Melayu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa pelajar itu dilucutkan ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Melayu yang dianugerahkan pada Istiadat Konvokesyen UM pada 4 Ogos 2004 kerana plagiat dalam penulisan tesis.
Khoo berkata melalui pengalamannya kebanyakan kes penipuan dikenal pasti oleh pihak ketiga yang menggunakan kajian terdahulu sebagai rujukan.
Kita perlu fahami maksud plagiat secara akademik. Menurut Faculty Council Indiana University plagiarisma ialah :
“…as presenting someone else’s work, including the work of other students as one’s own. Any ideas or materials taken from another source for either written or oral use must be fully acknowledged, unless the information is common knowledge. What is considered “common knowledge may differ from course to course.”
Menginsafi fenomena yang tidak sihat ini, Andrew Keen dalam bukunya ‘The Cult of Amateur: How Today’s Internet is Killing Our Culture and Assaulting Our Economy’ menyatakan :
“The fact is that co-opting other people’s creative work – from music file sharing, to downloading movies and videos, to passing off others’ writing as one’s own – is not only illegal, in most cases, but immoral. Yet the widespread acceptance of such behaviour threatens to undermine a society that has been built on hard work, innovation, and the intelectual achievement of our writers, scientists, artists, composers, musicians, journalists, pundits and moviemakers.”
Mengenai amalan plagiarisme melalui bahan-bahan di internet, dalam satu kajian ke atas 50,000 siswa oleh Center for Academic Integrity pada Jun 2005 di kalangan mahasiswa di Amerika Syarikat mendapati :
“.. 70% of college students admitted to engaging in some form of cheating; worse still, 77% of college students didn’t think that Internet plagiarism was a “serious” issue. This disturbing finding gets at a grave problem in terms of Internet and culture : The digital revolution is creating a generation of cut-and-paste burglars who view all content on the Internet as common property.”
Fenomena ini tidak mustahil juga sedang merebak di kalangan mahasiswa di negara kita. Ia berlaku sama ada disengajakan atau secara tidak sengaja.
Ada beberapa sebab mengapa fenomena plagiat terjadi.
Pertama, pelajar sendiri tidak didedahkan dengan kemahiran mencari maklumat atau membuat ‘kajian kepustakaan’. Sepanjang pengetahuan saya kursus Penulisan Ilmiah memang tiada dalam senarai kursus wajib kolej yang perlu ditawarkan kepada pelajar. Kursus ini sebagaimana kursus pengajian umum sepatutnya diajar merentasi program atau kurikulum. Ia memberikan kemahiran menyelidik dan melatih minda menjadi objektif, kritis dalam mencari fakta dan akhirnya menemukan kebenaran perkara yang dikaji. Kualiti ini jarang ditekankan dalam program akademik.
Kedua, ‘cut and paste‘ adalah kaedah mudah dan cepat untuk menyelesaikan tugasan. Asalkan dapat bahan yang difikirkan sesuai, salin sahaja bulat-bulat dan adunkan dengan bahan-bahan lain maka siaplah tugasan. Mudahkan begitu!
Ketiga, pelajar memplagiat kerana kesuntukan masa dan bersikap ambil mudah (take things for granted).
Namun hakikat sebenar ialah sikap (attitude) pelajar terhadap budaya ilmu itu sendiri. Mereka melakukan semua aktiviti akademik asalkan siap dan tidak mempunyai sasaran pencapaian yang tinggi dan berkualiti.
Mereka turut beranggapan kerja plagiat ini tidak akan dapat dikesan pensyarah. Namun anggapan ini ternyata silap kerana pensyarah masih boleh mengesan ciri-ciri tulisan yang diplagiat pelajar. Bak kata pepatah ‘ibarat sekilas ikan di air, dah tau jantan betinanya’.
Kepada pelajar saya anda harus banyak belajar lagi untuk menghasilkan satu naskah akademik. Ia suatu yang sukar tetapi tidak pula mustahil. Asalkan ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’.
Sikap yang anda tunjukkan sekarang tidak akan banyak membantu. Ini kerana ilmu tidak akan dikuasai tanpa didahului kerja kuat, penelitian, penekunan, kesabaran dan pengorbanan.
Seperkara lagi ialah pra-syarat paling asas iaitu dengan mempunyai sikap yang betul. Bagi sesetengah mazhab perubahan, ia adalah penentu kepada setiap perubahan.
Maka, sebagai pelajar bukankah ini tanggungjawab yang anda perlu laksanakan!

