MQA untuk DPS – Mutakhir


Masa untuk mendapatkan akreditasi penuh MQA untuk DPS hampir tiba.

Pihak MQA telah pun menetapkan akan membuat penilaian untuk akreditasi penuh ke atas program DPS pada 29 dan 30 (Selasa dan Rabu selepas naik cuti Raya Puasa) September nanti.

Tarikh baru ini telah disahkan melalui surat rasmi kepada pihak kolej yang telah diterima semalam.

Dengan ini, seluruh warga DPS dan HEA kolej akan digerakkan semula untuk persediaan bagi tujuan tersebut. Semua persediaan mesti disempurnakan pada minggu terakhir sebelum cuti hari raya ‘eidil fitri nanti.

Marilah kita berdoa di bulan Ramadhan al-mubarak ini agar cita-cita kita mendapat akreditasi penuh untuk DPS tercapai.

Amin

Keputusan Pilihan raya Chesku


Berikut adalah keputusan pilihan raya Majlis Tertinggi Chesku – disusun ikut tertib menurun – yang telah diadakan semalam.

Dengan keputusan ini, maka secara resmi 6 orang ahli Majlis Tertinggi (6 calon pertama yang dapat undi terbanyak) telah dipilih secara demokrasi.

Manakala baki 11 orang lagi akan dilantik sebagai ahli Jawatan kuasa Chesku. Portfolio mereka akan ditentukan kemudian.

Bil

Calon

Jum Undi

1 Akhmal Hakim Abd. Aziz 391
2 Fudhail Hakimi Arif Ibrahim 374
3 Mohamad Nazirul Azzim Othman 214
4 Nurul Diyana Mat Kasim 203
5 Safura Abdullah Ali 179
6 Nur Shalini Ramlan 177
7 Aishah Abd Malek 174
8 Nur Azura Anuar 166
9 Noor Jehan Mohd Khalid 132
10 Intan Syafinaz Supian 117
11 Nurul Syafika Abd Talib 115
12 Iza Suryani Hamzah 109
13 Abd Latif Ramli 107
14 Nurul Ain Rahmat 84
15 Julana a/p Jali 80
16 Nur Nazarith Mohd Razali 67
17 Vivie Hanna Jamaluddin 47

Demokrasi di Chesku


Semalam 20 Ogos 2009 pilihan raya pemilihan ahli Majlis Tertinggi Childhood Education Society Kolej Uniti (Chesku) telah diadakan di Uniti Village di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Penasihat Chesku, Cik Siti Zaleha Ahmad.

Sejumlah 17 orang calon untuk Majlis Tertinggi Chesku telah disahkan untuk bertanding oleh HEP dan dengan kebenaran Ketua Program Diploma Pendidikan Pra-Sekolah (DPS), iaitu Encik Zakri Md Zain.

Setelah tamat masa pengundian, jumlah pelajar-pelajar  DPS yang telah keluar mengundi adalah seramai 449 orang daripada jumlah keseluruhan 718 (62.53 %).  Dengan peratusan melebihi 50% keluar mengundi, ini menunjukkan kesedaran mengenai kepimpinan pelajar di tahap memuaskan.

Pengalaman mengundi khususnya pelajar baru DPS melatih pelajar erti demokrasi iaitu pemilihan kepimpinan organisasi di tangan majoriti ahli komuniti.

Kepada pihak HEP dan penasihat Chesku syabas diucapkan kerana telah memainkan peranan utama dalam proses demokrasi untuk komuniti Chesku atau DPS. Kepada para pengundi pula, tahniah kerana telah menjalankan tanggungjawab demokratik anda.

Keputusan pemilihan akan dimaklumkan kemudian.

Salam Ramadhan 1430


Kepada semua warga Kolej Uniti,

Selamat berpuasa dalam bulan tarbiyyah Ramadhan al-Mubarak 1430 H kali ini yang akan tiba esok, 22 Ogos 2009. Peluang yang sangat dinantikan oleh mereka yang beriman dan dahagakan pengalaman rohani.

InsyaALlah masih ramai daripada warga kolej Uniti yang cintakan agamanya untuk meraikan bulan penyucian jiwa ini. Kepada semua warga Kolej Uniti marilah kita berdoa agar ALlah mengizinkan kita berpuasa dalam keadaan aman dari fitnah dan ujian berat yang tidak dapat kita tanggung.

poster ramadhan

Peluang Graduan Pra-Sekolah


Sekarang dan untuk bertahun akan datang adalah masa untuk bidang pendidikan pra-sekolah atau pendidikan awal kanak-kanak.

Antara petunjuk kepada ‘takdir’ itu ialah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan IPT yang berkaitan dengan bidang ini.

Kepada pelajar Diploma Pendidikan Pra-Sekolah, anda berada pada masa yang tepat dan sesuai sekarang kerana telah memilih dan belajar dalam bidang yang sedang mendapat tumpuan kerajaan sekarang.

Berikut adalah laporan BERNAMA mengenai peluang kepada pasaran graduan pra-sekolah.

—————–

Kerajaan Cadang Beri Insentif Kepada Pengusaha Tubuh Prasekolah Swasta

KOTA KINABALU, 16 Ogos (Bernama) — Kementerian Pelajaran bercadang memberikan insentif kepada pengusaha swasta yang mewujudkan kelas prasekolah di negara ini khususnya di kawasan luar bandar.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu selaras dengan wawasan kerajaan untuk memperbanyakkan lagi prasekolah yang menggunakan sukatan pelajaran kebangsaan menjelang tahun 2012.

“Insentif ini mungkin dalam pelbagai bentuk termasuk pengecualian cukai dan latihan guru-guru pra-sekolah swasta.

“Kementerian mungkin akan menanggung sebahagian daripada kos latihan dan membantu mempermudahkan pengusaha mendapat pinjaman untuk menubuhkan sekolah prasekolah swasta,” katanya kepada pemberita di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pada masa ini, hanya 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar yang layak, memasuki kelas prasekolah manakala pelajar selebihnya terus masuk sekolah biasa (Tahun Satu).

“Misi kita dalam tiga tahun akan datang ialah meningkatkan peratusan itu kepada 80 peratus, dan kita membuat andaian kalau sekolah prasekolah ini akan diserapkan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara, mungkin ada ibu bapa yang tunggu (sehingga ia menjadi kenyataan).

“Saya bimbang pihak kementerian tak boleh tampung pelajar 40 peratus itu…ini akan menjadi masalah bagi kita,” katanya.

Sebab itu, Muhyiddin berkata kementeriannya menggalakkan pihak swasta untuk membantu mewujudkan lebih banyak prasekolah bagi menampung keperluan semasa dengan bayaran yuran yang rendah dan berpatutan.

“Pada masa yang sama, Kementerian Pelajaran juga akan berusaha untuk memperbanyakkan lagi kelas prasekolah di negara ini,” katanya.

Menurut Muhyddin, terdapat empat pihak yang kini mengendalikan kelas prasekolah termasuk Kementerian Pelajaran, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Jabatan Perpaduan Rakyat dan pengusaha swasta.

— BERNAMA

Peringatan Balik Cuti Raya


Pelajar diingatkan agar merujuk dahulu kepada takwim akademik dan tarikh bercuti sebelum membeli tiket balik kampung sempena cuti Hari Raya ‘Eidil Fitri nanti.

Ini bagi mengelakkan kejadian pelajar bercuti lebih awal atau/dan balik semula lewat ke kolej untuk menyambung pengajian baki semester Julai ini kerana bimbangkan tiket telah habis dijual di pasaran.

Rancanglah perjalanan balik dan kembali ke kolej mengikut takwim akademik Uniti. Kepada yang masih tidak tahu mengenai takwim tersebut anda boleh muat turun dari Box.net Kolej Uniti.

Suka diingatkan bahawa walaupun pelajar telah diberi cuti seminggu kerana wabak flu H1N1, tarikh penting peperiksaan akhir masih tidak berubah. Apapun sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian.

Harap maklum

Pengurusan Kolej Uniti

Mutakhir MQA – Uniti


Panel MQA sedang menilai program DIA UiTM-Uniti mulai hari ini hingga esok 14 Ogos untuk tujuan pembaharuan akreditasi bagi tempoh 5 tahun akan datang.

Manakala penilaian MQA untuk program DPS yang dijangka pada minggu depan dari 20-21 Ogos ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan oleh pihak MQA.

Harap maklum

Hal Ehwal Akademik Kolej Uniti

Pengumuman Pencegahan Penularan Baru Flu H1N1


Memandangkan penularan wabak (pandemic) flu H1N1 masih belum ada tanda-tanda akan surut dalam masa terdekat ini di seluruh negara – berdasarkan laporan media harian – adalah diingatkan bahawa pada minggu depan, sekiranya ada pelajar yang masih mengalami demam ( suhu badan mencapai 38 ° Celcius) atau mula menunjukkan tanda-tanda lazim dijangkiti flu H1N1, maka anda diminta menangguhkan kepulangan ke KU/UV pada 9 Ogos nanti. Sila dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau pusat kesihatan berhampiran.

Ini adalah untuk mengelakkan penularan baru (kedua) ke kawasan kampus KU dan asrama pelajar di UV.

Kepada yang berkenaan – jika terjadi sedemikian – sila maklumkan melalui telefon kepada pihak kolej untuk rekod kami. Anda hanya boleh kembali ke KU/UV apabila status kesihatan anda kembali normal.

Sama-samalah kita berdoa agar wabak ini akan berakhir secepat mungkin agar kehidupan akan berjalan seperti biasa. Amin

Pengurusan Kolej Uniti