Simulasi PNG


Ramai pelajar dari pelbagai program telah mendapat manfaat daripada kaedah simulasi PNG yang telah dibangunkan sejak 5-6 tahun lalu, sama ada melalui kes rujukan dari Ketua Program atau datang secara sukarela.

Dari kiri : Mira, Fatin dan Ika – kesemuanya DPI Sem 5 dan merupakan pelajar yang mencapai PNGK yang baik, datang secara sukarela untuk mengetahui takdir PNG paling tinggi boleh dicapai sem ini dan sem akhir nanti. Dengan sikap positif dan berani, mereka telah mengetahui dan menerima salah satu ‘takdir’ atau keputusan PNGS/K mereka sem ini dan sem akhir nanti. (Sesi 3 Ogos 2011, dari 3.30 – 5.45 ptg di bilik cikgubad)

Sekarang dalam versi terbarunya, ia lebih memudahkan lagi pelajar memahami pengiraan PNGS dan PNGKnya melalui ciri tambahan iaitu graf PNG.

Berikut adalah peta minda mengenai simulasi PNG yang meringkaskan segalanya tentang simulasi tersebut. Pelajar dan pensyarah KU boleh memberi respons terhadap nota ringkas ini demi menambah baik lagi simulasi ini pada masa hadapan.

Klik imej untuk paparan saiz yang lebih besar.

Advertisements

Niat Yang Sempurna – Satu Penegasan Semula


Artikel ini pernah menjadi bahan dalam laman web Uniti sekitar Disember 2006 dalam ruangan saya bertajuk ‘Suluhan Hidup’ atas kapasiti saya selaku Eksekutif Runding Cara pelajar. Saya siarkan semula – dengan sedikit suntingan – untuk renungan para pelajar sekalian.

————-

Insan berilmu atau golongan intelek adalah komuniti yang sarat tanggung jawab dalam sebuah masyarakat bertamadun. Ini adalah kerana komuniti ini, dalam disiplin apa pun, berfungsi sebagai agen perubahan masyarakat. Ilmunya menyuluh dan mencelikkan serta menyedarkan masyarakat tentang keperluan zamannya. Malah yang lebih utama, kerana sifat gunaannya, kepakaran mereka diperlukan untuk menyelesaikan masalah-masalah dalam masyarakat dengan cara yang praktikal, tepat dan konklusif.

Justeru, sebagai golongan yang bakal bergelar intelektual, para pelajar wajib berusaha untuk menyempurnakan segala keperluan akademiknya agar peranan tersebut dapat dilaksanakan kelak setelah tamat belajar. Namun hasrat menjadi golongan intelektual ini tanpa mempedulikan soal ihsan dan kemanusiaan, adab dan kesantunan tidak akan pernah menjadi cita-cita yang sempurna.

Kita mempunyai banyak alasan apabila mengemukakan kenyataan ini. Satu alasan yang terpenting, berdasarkan sumber paling klasik ialah melalui sabdaan Rasulullah s.a.w. apabila baginda menyatakan risalahnya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia di kalangan umat manusia. Maka, para pelajar mesti menghiasi personalitinya dengan akhlak mulia agar kecemerlangan akademiknya lebih beerti dan memberi kesan lebih positif apabila tampil di dalam masyarakat kelak.

Para pelajar perlu sensitif dengan isu ini kerana taklif yang terpundak di bahu mereka tidak boleh ditolak ansurkan dengan cita-cita berbau material dan hedonisme. Jika tidak niat yang tercemar ini hanya akan menatijahkan lahirnya individu dengan gaya hidup yang liberal, bebas-nilai, anti-sosial dan tradisi, individualistik, dan sekular. Pengamatan umum kepada komuniti pelajar Melayu-Islam dewasa ini menunjukkan bahawa mereka semakin miskin kesantunan, budi bahasa dan adab, baik sesama mereka mahu pun dengan kaum yang lebih tua. Hal ini wajar diinsafi kerana nasib negara banyak tergantung kepada mutu keperibadian generasi muda hari ini.

Mengapa fenomena ini berlaku? Ironisnya, biarpun kita mempunyai petunjuk dan ajaran agama terbaik dan sarat dengan nilai budaya tradisi, masalah sosial dan juvana terus menunjukkan peningkatan. Tiada tanda-tanda jelas statistik jenayah telah menurun. Sebaliknya, saban masa, kes-kes jenayah yang berlaku begitu mengejutkan sekali. Nyata bahawa realiti semasa telah menghujahkan negara Malaysia tercinta ini perlu aman dan sentosa dengan kehadiran rakyat yang berakhlak, bukan sekadar ramainya golongan bijak pandai. Justeru, cita-cita pertama, bersama kecemerlangan akdemik, ialah memiliki akhlak mulia.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan perspektif ini. Namun, satu hakikat yang tidak boleh diketepikan ialah tendensi pelajar dan masyarakat umum ialah ke arah kecemerlangan akademik semata-mata. Orientasi akademik telah selama ini menguasai gaya dan budaya pelajar kita. Buktinya ialah semua pelajar takut gagal peperiksaan akhirnya – yang hanya menguji kebolehan inteleknya iaitu ¼ daripada keseluruhan peribadi cemerlang! Persoalan akhlak, apatah lagi iman dan takwa menjadi sampingan, kalau pun tidak penting langsung.

Pelajar UNITI harus insaf bahawa keperibadian berakhlak sebagai manifestasi hati dan emosi pelajar adalah matlamat utama pendidikan kerana ia adalah watak utama yang membezakan ‘kita dengan orang lain’. Nabi tidak diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia! Setelah cerminkan diri adakah anda telah atau sekurang-kurangnya sedang menjadi seseorang yang berkeperibadian mulia ketika ini ?