Blog Kaunseling UNITI


Unit Bimbingan dan Kaunseling Kolej UNITI kini tidak lagi ‘statik’ di pejabat HEP. Pelajar dipelawa untuk melayari blog Kaunseling Uniti yang dikendalikan oleh En. Muhammad Yassin bin Omar Mokhtar, selaku kaunselor Kolej Uniti. Sila klik di sini atau cari di bahagian pautan untuk ke blog ini.

Banyak artikel, panduan, soal selidik dan pautan-pautan kepada laman sesawang dan blog yang bermanfaat kepada pelajar untuk mendapatkan bimbingan dan suluhan hidup.

Dengan maklumat di hujung jari, pelajar tidak lagi terkekang memperolehi maklumat yang sesuai untuk membantu pembelajarannya.

Kini, dengan teknologi ICT yang canggih – dengan laptop atau PDA yang ada ciri wifi built-in dan melanggan perkhidmatan jalur lebar (jika perlu) maklumat-maklumat ini boleh dicapai secara mobile.

Selamat memanfaatkan blog Kaunseling Uniti.

Niat Yang Sempurna – Satu Penegasan Semula


Artikel ini pernah menjadi bahan dalam laman web Uniti sekitar Disember 2006 dalam ruangan saya bertajuk ‘Suluhan Hidup’ atas kapasiti saya selaku Eksekutif Runding Cara pelajar. Saya siarkan semula – dengan sedikit suntingan – untuk renungan para pelajar sekalian.

————-

Insan berilmu atau golongan intelek adalah komuniti yang sarat tanggung jawab dalam sebuah masyarakat bertamadun. Ini adalah kerana komuniti ini, dalam disiplin apa pun, berfungsi sebagai agen perubahan masyarakat. Ilmunya menyuluh dan mencelikkan serta menyedarkan masyarakat tentang keperluan zamannya. Malah yang lebih utama, kerana sifat gunaannya, kepakaran mereka diperlukan untuk menyelesaikan masalah-masalah dalam masyarakat dengan cara yang praktikal, tepat dan konklusif.

Justeru, sebagai golongan yang bakal bergelar intelektual, para pelajar wajib berusaha untuk menyempurnakan segala keperluan akademiknya agar peranan tersebut dapat dilaksanakan kelak setelah tamat belajar. Namun hasrat menjadi golongan intelektual ini tanpa mempedulikan soal ihsan dan kemanusiaan, adab dan kesantunan tidak akan pernah menjadi cita-cita yang sempurna.

Kita mempunyai banyak alasan apabila mengemukakan kenyataan ini. Satu alasan yang terpenting, berdasarkan sumber paling klasik ialah melalui sabdaan Rasulullah s.a.w. apabila baginda menyatakan risalahnya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia di kalangan umat manusia. Maka, para pelajar mesti menghiasi personalitinya dengan akhlak mulia agar kecemerlangan akademiknya lebih beerti dan memberi kesan lebih positif apabila tampil di dalam masyarakat kelak.

Para pelajar perlu sensitif dengan isu ini kerana taklif yang terpundak di bahu mereka tidak boleh ditolak ansurkan dengan cita-cita berbau material dan hedonisme. Jika tidak niat yang tercemar ini hanya akan menatijahkan lahirnya individu dengan gaya hidup yang liberal, bebas-nilai, anti-sosial dan tradisi, individualistik, dan sekular. Pengamatan umum kepada komuniti pelajar Melayu-Islam dewasa ini menunjukkan bahawa mereka semakin miskin kesantunan, budi bahasa dan adab, baik sesama mereka mahu pun dengan kaum yang lebih tua. Hal ini wajar diinsafi kerana nasib negara banyak tergantung kepada mutu keperibadian generasi muda hari ini.

Mengapa fenomena ini berlaku? Ironisnya, biarpun kita mempunyai petunjuk dan ajaran agama terbaik dan sarat dengan nilai budaya tradisi, masalah sosial dan juvana terus menunjukkan peningkatan. Tiada tanda-tanda jelas statistik jenayah telah menurun. Sebaliknya, saban masa, kes-kes jenayah yang berlaku begitu mengejutkan sekali. Nyata bahawa realiti semasa telah menghujahkan negara Malaysia tercinta ini perlu aman dan sentosa dengan kehadiran rakyat yang berakhlak, bukan sekadar ramainya golongan bijak pandai. Justeru, cita-cita pertama, bersama kecemerlangan akdemik, ialah memiliki akhlak mulia.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan perspektif ini. Namun, satu hakikat yang tidak boleh diketepikan ialah tendensi pelajar dan masyarakat umum ialah ke arah kecemerlangan akademik semata-mata. Orientasi akademik telah selama ini menguasai gaya dan budaya pelajar kita. Buktinya ialah semua pelajar takut gagal peperiksaan akhirnya – yang hanya menguji kebolehan inteleknya iaitu ¼ daripada keseluruhan peribadi cemerlang! Persoalan akhlak, apatah lagi iman dan takwa menjadi sampingan, kalau pun tidak penting langsung.

Pelajar UNITI harus insaf bahawa keperibadian berakhlak sebagai manifestasi hati dan emosi pelajar adalah matlamat utama pendidikan kerana ia adalah watak utama yang membezakan ‘kita dengan orang lain’. Nabi tidak diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia! Setelah cerminkan diri adakah anda telah atau sekurang-kurangnya sedang menjadi seseorang yang berkeperibadian mulia ketika ini ?